hadist tentang niat dalam beramal
وعن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب بن نفيل بن عبد العزى بن رياح بن قرط بن
رزاح بن عدى بن لؤى ابن غالب القرشى العدوى. رضي الله عنه، قال: سمعت رسول
الله صلى الله عليه وسلم يقول: " إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما
نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا
يصيبها، أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه" ((متفق على صحته. رواه إماما المحدثين: أبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيرى
النيسابورى رضي الله عنهما في صحيحهما اللذين هما أصح الكتب
المصنفة)).
1. Dari Amirul mu'minin Abu Hafs iaitu Umar
bin Al-khaththab bin Nufail bin Abdul 'Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin
Razah bin 'Adi bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-'Adawi r.a. berkata:
Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda [3] :
"Hanyasanya semua
amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan hanyasanya bagi setiap orang
itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada
Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan RasulNya. Dan
barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya,
ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnyapun kepada
sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu."
(Muttafaq (disepakati) atas keshahihannya
Hadis ini)
Diriwayatkan oleh dua
orang imam ahli Hadis iaitu Abu Abdillah Muhammad bin
Ismail bin Ibrahim bin Almughirah bin Bardizbah Alju'fi Albukhari, -
lazim disingkat dengan Bukhari saja -dan Abulhusain
Muslim bin Alhajjaj bin Muslim Alqusyairi Annaisaburi, - lazim disingkat
dengan Muslim saja - radhiallahu 'anhuma dalam kedua kitab masing-masing yang
keduanya itu adalah seshahih-shahihnya kitab Hadis yang dikarangkan.
Keterangan:
Hadis di atas adalah
berhubung erat dengan persoalan niat. Rasulullah s.a.w. menyabdakannya itu ialah
kerana di antara para sahabat Nabi s.a.w. sewaktu mengikuti untuk berhijrah dari
Makkah ke Madinah, semata-mata sebab terpikat oleh seorang wanita yakni Ummu Qais. Beliau s.a.w. mengetahui maksud orang
itu, lalu bersabda sebagaimana di atas.
Oleh kerana orang itu
memperlihatkan sesuatu yang bertentangan dengan maksud yang terkandung dalam
hatinya, meskipun sedemikian itu boleh saja, tetapi sebenarnya tidak patut
sekali sebab saat itu sedang dalam suasana yang amat genting dan rumit, maka
ditegurlah secara terang-terangan oleh Rasulullah s.a.w.
Bayangkanlah, betapa
anehnya orang yang berhijrah dengan tujuan memburu wanita yang ingin dikahwin,
sedang sahabat beliau s.a.w. yang lain-lain dengan tujuan menghindarkan diri
dari amarah kaum kafir dan musyrik yang masih tetap berkuasa di Makkah, hanya
untuk kepentingan penyebaran agama dan keluhuran Kalimatullah.
Bukankah tingkah-laku
manusia sedemikian itu tidak patut sama-sekali.
Jadi oleh sebab
niatnya sudah keliru, maka pahala hijrahnya pun kosong.
Lain sekali dengan
sahabat-sahabat beliau s.a.w.
yang dengan keikhlasan hati
bersusah payah menempuh jarak yang
demikian jauhnya untuk
menyelamatkan keyakinan kalbunya, pahalanya
pun besar sekali kerana hijrahnya memang dimaksudkan untuk mengharapkan
keredhaan Allah dan RasulNya. Sekalipun datangnya Hadis itu mula-mula tertuju
pada manusia yang salah niatnya ketika ia mengikuti hijrah, tetapi sifatnya
adalah umum. Para imam mujtahidin berpendapat bahwa sesuatu amal itu dapat sah
dan diterima serta dapat dianggap sempurna apabila disertai niat. Niat itu ialah
sengaja yang disembunyikan dalam hati, ialah seperti ketika mengambil air
sembahyang atau wudhu', mandi shalat dan lain-lain sebagainya.
Perlu pula kita
maklumi bahawa barangsiapa berniat mengerjakan suatu amalan yang bersangkutan
dengan ketaatan kepada Allah ia mendapatkan pahala. Demikian pula jikalau
seseorang itu berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tetapi tidak jadi
dilakukan, maka dalam hal ini orang itupun tetap juga menerima pahala. Ini
berdasarkan Hadis yang berbunyi:
"Niat seseorang itu
lebih baik daripada amalannya."
Maksudnya:
Berniatkan sesuatu yang
tidak jadi dilakukan sebab adanya halangan yang tidak dapat dihindarkan itu
adalah lebih baik daripada sesuatu kelakuan yang benar-benar dilaksanakan,
tetapi tanpa disertai niat apa-apa.
Hanya saja dalam
menetapkan wajibnya niat atau tidaknya,agar amalan itu menjadi sah, maka ada
perselisihan pendapat para imam mujtahidin. Imam-imam Syafi'i, Maliki
dan Hanbali mewajibkan niat itu dalam segala
amalan, baik yang berupa wasilah yakni perantaraan seperti wudhu', tayammum dan
mandi wajib, atau dalam amalan yang berupa maqshad (tujuan) seperti shalat,
puasa, zakat, haji dan umrah. Tetapi imam Hanafi hanya mewajibkan adanya niat itu dalam amalan yang berupa
maqshad atau tujuan saja sedang dalam amalan yang berupa wasilah atau
perantaraan tidak diwajibkan dan sudah dianggap sah.
Adapun dalam amalan
yang berdiri sendiri, maka semua imam mujtahidin sependapat tidak perlunya niat
itu, misalnya dalam membaca al-Quran, menghilangkan najis dan
lain-lain.
Selanjutnya dalam
amalan yang hukumnya mubah atau jawaz (yakni yang boleh dilakukan dan boleh pula
tidak), seperti makan-minum, maka jika disertai niat agar kuat beribadat serta
bertaqwa kepada Allah atau agar kuat bekerja untuk bekal dalam melakukan ibadat
bagi dirinya sendiri dan keluarganya, tentulah amalan tersebut mendapat pahala,
sedangkan kalau tidak disertai niat apa-apa, misalnya hanya supaya kenyang saja,
maka kosonglah pahalanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
silahkan beri masukan komentar anda